Selasa, Jun 21, 2011

KEKOSONGAN JAWATAN - GURU SAMBILAN SAINS KOMPUTER

JAWATAN : GURU SAINS KOMPUTER
TARAF : SAMBILAN
TEMPOH : DUA (2) BULAN MULAI PERTENGAHAN JULAI 2011*
TEMPAT BERTUGAS : MRSM KUALA KUBU BHARU
KELAYAKAN : SARJANA MUDA SAINS KOMPUTER/IT ATAU SETARAF ATAU BERKAITAN
SKIM GAJI : HARIAN (RM100.07*)
SKOP PENGAJARAN : MENGAJAR TINGKATAN 1 & 2 - MICROSOFT OFFICE, PHOTOSHOP DAN VISUAL BASIC

SILA HUBUNGI TIMBALAN PENGETUA HAL-EHWAL AKADEMIK, PN SITI HAJAR BT MOHD RASHID DI TALIAN 03-60643907/3944 PERTANYAAN LANJUT.

Isnin, Mei 16, 2011

KEKOSONGAN JAWATAN - GURU SENIREKA

Permohonan untuk mengisi kekosongan jawatan Guru Mara berikut :

Jawatan : GURU SENIREKA

Kelulusan : sekurang-kurangnya SARJANA MUDA dengan kelulusan dalam bidang berkaitan.
* pemohon dengan kelulusan DIPLOMA PENDIDIKAN atau dengan PENDIDIKAN amat dialu-alukan

Keutamaan adalah LELAKI, bagaimana pun calon wanita masih boleh memohon.

Tempat Bertugas : MRSM Kuala Kubu Bharu, Selangor

** Calon juga mesti berkemampuan untuk melaksanakan tugas sebagai warden atau pembantu warden.


Surat permohonan beserta 'resume' boleh di e-melkan ke alamat hea@mrsmkkb.edu.my atau faks 03-60643949 (u/p : TPHEA) dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Timbalan Pengetua (Hal-Ehwal Akademik), Pn. Siti Hajar bt Mohd Rashid di talian 03-60643907/60643944.

Isnin, Mei 02, 2011

MRSM KKB dilanggar geroda

selayaknya begitulah...walaupun cuti hanya tiga hari termasuk hari minggu, asrama kelihatan begitu sunyi dan kosong...tiada lagi riuh rendah, hiruk pikuk ataupun sebarang pergerakan aktif para pelajar. yang ada hanya blok asrama yang sepi, bilik yang ditinggalkan terbuka dan lambaian pokok-pokok yang setia....
sempena cuti hari pekerja pada 1 Mei semalam, hari ini menjadi hari cuti umum dan para pelajar dibenarkan pulang bermalam sebaik sahaja tamat mesyuarat Muafakat cawangan MRSM Kuala Kubu Bharu.
namun itu semua telah berubah petang ini apabila semua pelajar telah kembali ke asrama dan kelas persediaan malam ini berjalan seperti biasa.....

Ahad, April 24, 2011

Virus Ini Memang Membunuh

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini seringkali kedengaran rungutan pengguna terutamanya para guru berkenaan dengan virus komputer yang mengganggu. Namun tindakan pembersihan agak sukar dilakukan kerana kemungkinan virus berkenaan merebak kembali adalah sangat tinggi. Sebarang tindakan yang tidak terancang hanya akan menyebabkan pembaziran masa tanpa menyelesaikan masalah pun.
Nama virus berkenaan tidak dapat dipastikan berikutan perisian sekuriti yang digunakan tidak mengkalisifikasikan ianya sebagai virus atau ancaman. Ini kerana 'virus' berkenaan hanya mereplikasikan dirinya ke semua media storan yang kedapatan dan mencipta fail 'shortcut' disamping menyembunyikan fail-fail,folder-foder atau dokumen-dokumen asal milik pengguna. Bagi pengguna komputer yang seringkali bertukar-tukar komputer, ini mendatangkan masalah kerana apabila storan flash(USB,thumbdrive,pendrive,external harddisk etc) seringkali bertukar 'drive letter' apabila digunakan di komputer lain. Kombinasi ini mendatangkan masalah kerana pengguna seringkali tidak dapat membuka bahan-bahan asal dalam storan kerana telah disembunyikan. Selain daripada itu apa musibah yang dibawanya tidaklah dapat dipastikan. Mungkin gabungan ciri-ciri ini tidak cukup untuk membolehkan ianya diklasifikasikan sebagai virus atau ancaman bagi sesetengah pakar sekuriti.
Namun apa yang pasti virus berkenaan memang telah membunuh banyak masa dan emosi para pengguna......

Rabu, April 20, 2011

MAKAN-MAKAN LAGI

















































Sempena meraikan kecemerlangan SPM 2010, kejayaan penganjuran Super dan meraikan kehadiran pengetua baharu, satu majlis keraian diadakan untuk para guru dan kakitangan MRSM KKB.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan Timbalan Pengetua HEP, Tn Hj Abd Ghani Yahya dan ucapan pengetua Tn. Hj Mustafar Che Mat yang mana ini merupakan ucapan pertama beliau di hadapan semua guru dan kakitangan sejak mengambil alih tugas pengetua daripada Pn. Siti Fatimah Hasan yang kini bertugas di MRSM Tumpat , Kelantan.

Selain meraikan kejayaan , kesempatan turut di ambil oleh Kelab Warga untuk meraikan warga kerja yang menyambut hari lahir dan menerima cahaya mata. Mereka yang cemerlang pula dianugerahkan dengan sijil penghargaan sempena Hari Kualiti yang diadakan setiap bulan.

Jamuan turut dihadiri oleh bekas guru KKB yang telah berpindah pada pertengahan tahun lalu dan awal tahun ini. Kehadiran Ust Zeidi Zakaria (kini menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Unit Pendidikan Islam) dan en Zaidi Yaacob (pensyarah di UiTM , Shah Alam) memeriahkan majlis lagi. turut hadir ialah isteri tuan pengetua yang juga merupakan Penolong Kanan 1 di SMK Ampang Pecah (jiran sekolah terdekat).

Jamuan berakhir kira-kira jam dua petang selepas seorang demi seorang yang kekenyangan meninggalkan majlis. Akan datang jamuan 'pot luck' pula.makan lagi...














Isnin, April 18, 2011

SELAMAT BERTUGAS PENGETUA BAHARU


Tn. Hj. Mustafar bin Che Mat


MRSM KKB secara rasminya menerima pengetua baharu pada hari ini 18 April 2011. Beliau adalah Tuan Haji Mustafar bin Che Mat yang sebelum ini bertugas di MRSM Pengkalan Hulu, Perak.

Berasal dari Pengkalan Kubor, Kelantan dan telah memulakan tugas dengan Mara di MRSM Kuala Terengganu dan MRSM Terendak (sebagai kaunselor) sebelum berpindah ke ibu pejabat Mara di Bahagian Bimbingan dan Kaunseling. Jawatan terakhir beliau sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Hal-Ehwal Korporat sebelum dilantik sebagai pengetua MRSM Kuala Klawang, Negeri Sembilan dan kemudiannya ke MRSM Pengkalan Hulu.

Warga MRSM KKB mengalu-alukan kedatangan pengetua baharu yg mesra disapa Hj Mus atau Che Pa. Selamat menjalankan tugas di tempat 'baharu' . Moga kehadiran beliau akan meneruskan tradisi kecemerlangan dan memantapkan MRSM KKB.


*gambar dari laman sesawang MRSM Pengkalan Hulu - terima kasih.

Selasa, April 05, 2011

SUPER 2011

Pesta Sukan & Permainan (Super) MRSM Zon Barat (Men. Ren.) telah berlangsung pada 1 hingga 3 April 2011 yang lalu. Kejohanan ini melibatkan semua sembilan buah MRSM yang mewakili Zon Barat iaitu iaitu Felda Trolak, Tun Ghazali Shafie (Kuala Lipis), Lenggong, Pasir Salak, Kuala Klawang (KK), Serting, Tawau, Kota Kinabalu (KoKi) dan tuan rumah Kuala Kubu Bharu.


Sebanyak tujuh acara dipertandingkan bagi mencari pasukan yang layak mewakili zon dalam SUPER peringkat kebangsaan yang akan diadakan di MRSM PDRM Kulim bulan Jun akan datang. Acara yang dipertandingkan ialah bola sepak, bola jaring, sepak takraw, bola tampar (l/p), badminton, tenis dan ping pong.


Perlawanan akhir bola sepak dimenangi oleh MRSM Kuala Klawang dengan mengalahkan MRSM TGS 1 - 0. Tuan rumah MRSM KKB pula menewaskan MRSM KK dengan mata 21 berbalas 11 untuk muncul johan acara bola jaring. Perlawanan akhir sepak takraw antara MRSM KKB dan MRSM KK memihak kepada MRSM KK. MRSM Felda mengungguli acara bola tampar (l) apabila mengalahkan MRSM KoKi. Acara bola tampar perempuan pula dimenangi MRSM Serting selepas menewaskan MRSM KK. Tenis berpasukan dimenangi oleh MRSM Serting dengan mengalahkan MRSM KK. MRSM TGS muncul sebagai juara badminton berpasukan selepas menewaskan MRSM KK 2 - 1 dalam perlawanan akhir di gelanggang badminton Dewan Al-Ghazali. Acara ping pong juga diungguli oleh pasukan dari MRSM KK yang telah mengalahkan pasukan dari MRSM KoKi 3 - 0 dalam perlawanan akhir.


Secara keseluruhan, MRSM Kuala Klawang telah muncul sebagai johan dengan mengumpul 57 mata meninggalkan jauh naib johan MRSM Serting yang mengutip 38 mata. MRSM Kota Kinabalu di tempat ketiga dengan 34 mata. Manakala tuan rumah berkongsi 27 mata di tempat kelima dengan MRSM Tun Ghazali Shafie (TGS).


Majlis penutupan perasmian telah diadakan pada sebelah malam di Dewan Al-Ghazali MRSM Kuala Kubu Bharu dan telah disempurnakan oleh YB Datuk Mohd. Isa bin Abu Kasim, ADUN Batang Kali, Hulu Selangor.


Para peserta berangkat pulang pada Isnin, 4 April 2011 manakala hari berkenaan juga diisytiharkan sebagai cuti peristiwa bagi guru dan pelajar MRSM KKB.


Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah berusaha menjayakan kejohanan ini terutama kepada barisan ajk dan sukarelawan yang banyak membantu. Tidak lupa juga kepada peserta yang bertanding, serta semua yang terlibat dalam Super Zon Barat 2011.

Khamis, Mac 24, 2011

GANGGUAN KOMUNIKASI

Sebagaimana yang telah dimaklumkan juga di website rasmi maktab, dukacita dimaklumkan talian telefon, faks dan Internet maktab mengalami gangguan akibat kecurian kabel telefon berdekatan Kem PLKN. Laporan telahpun dibuat kepada pihak Telekom. Sebarang maklumbalas boleh di emelkan kepada alamat miekkb@gmail.com. Segala kesulitan yang berbangkit dari masalah ini amatlah dikesali dan kesabaran semua pihak amat kami hargai. Terima kasih.

Rabu, Mac 23, 2011

KEPUTUSAN SPM 2010

Keputusan rasmi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diumumkan pagi tadi dan KKB mengekalkan kecemerlangannya dalam senarai lima (5) maktab terbaik.

Secara keseluruhan MRSM KKB menduduki tempat ke-5 daripada 38 buah MRSM. Senarai teratas diungguli maktab-maktab PKP iaitu Pengkalan Chepa, Tun Ghafar Baba dan Taiping. Langkawi mengungguli kategori bukan PKP diikuti oleh Kuala Kubu Bharu, Kubang Pasu dan Kuala Berang (pencapaian GPM bawah 1.750).

Seramai 157 orang calon dengan 4 orang mendapat semua A dalam 10 subjek, manakala 19 orang mendapat semua A dalam 9 semua subjek yang diambil. Pencapaian bagi subjek juga membanggakan dengan Sejarah, Pendidikan Islam, Prinsip Akaun dan Pendidikan Seni Visual memperoleh 100% A. AManakala Subjek Fizik dan Biologi menduduki tempat ke-6 keseluruhan. Matematik Moden memperoleh 99.36% A dengan seorang memperoleh B+.

Tahniah kepada semua warga kerja maktab, terutama guru-guru dan para pelajar. Penghargaan khas kepada penyelaras puan Suziyanti Adanan dan barisan ajk Kecemerlangan SPM 2010. Kejayaan ini juga sebagai hadiah dan kenangan manis buat bekas pengetua yang kini bertugas di MRSM Tumpat. terima kasih atas segala sokongan.

* Takziah untuk pn pengetua yang kehilangan ibu tercinta kerana kembali ke Rahmatullah dalam kegembiraan beliau menerima kejayaan SPM. Moga rohnya dicucuri rahmat.Amin

Khamis, Mac 10, 2011

MAJLIS LERAIAN KASIH PENGETUA

MRSM KKB akan menerima pengetua baru (lagi..!)
Bersempena kenaikan pangkat dan perpindahan puan pengetua MRSM KKB, Pn. Siti Fatimah Hassan satu majlis meraikan beliau diadakan di Hotel Crystal Crown, Kepong pada Khamis, 10 Mac 2011.
Majlis yang dihadiri oleh TPHEA, TPHEK, guru dan staf turut diserikan dengan kehadiran beberapa orang wakil Muafakat iaitu YDP Dato' Ahmad Hj Md Yassin, timbalannya Tn. Hj. Radzuan Abdullah dan ajk En. Ahmad Sufian Abd Ghani.
Turut sama diraikan dalam majlis ini ialah Pn Azalina Abdullah, Guru Sejarah yang akan berpindah ke MRSM Felda, Trolak kerana mengikut suaminya yang bertugas di Tapah, Perak.
Intipati ucapan penghargaan daripada wakil guru, Pn. Nurhaniza Mokhtar (yang juga merupakan bekas anak murid beliau ketika di MRSM Kuala Terengganu) dan Pn. Rosnani yang mewakili staf bernada sama. Pn Fatimah atau lebih mesra dipanggil 'Kak Ti' (atas permintaannya) dalam kalangan guru dan staf digambarkan sebagai seorang yang tegas dan garang. Bagaimanapun, umum mengetahui beliau bersikap demikian hanya sewaktu dalam tugas. Di luar, beliau seorang yang mesra dan terbuka. Padanya, apa yang berlaku sewaktu bekerja tidak perlu di bawa ke luar.
Dalam ucapannya perpisahannya, Pn Siti Fatimah menghargai setiap pengalaman yang diperolehi sepanjang 3 tahun 4 bulan berada di KKB kerana ia amat berbeza dengan suasana persekitaran sewaktu beliau bertugas di MRSM Kuala Terengganu dan MRSM Muadzam Shah. Baginya tugas di KKB amat mencabar terutama dalam menghadapi kerenah ibu bapa. pengalaman pertama kali menikmati nasi ambeng dan makan beramai-ramai serta menghadiri majlis rewang juga menjadi kenangan manisnya. Beliau memang dikenali sebagai seorang yang suka memasak dan menjamu tetamu. Perpindahannya ke MRSM Tumpat juga sebagai memenuhi tuntutan tanggungjawab sebagai seorang anak terhadap ibunya yang semakin uzur di kampung halamannya di Kelantan.
Tempoh 9 tahun berada di KKB juga meninggalkan kesan kepada puan Azalina. walaupun sedih, tetapi beliau bersyukur kerana hasratnya untuk tinggal bersama keluarga tercapai tanpa perlu meninggalkan kerjayanya di MRSM.
Upacara penyampian cenderahati kenang-kenangan untuk kedua-duanya turut diadakan sebgai tanda penghargaan dan ingatan daripada pihak Maktab dan Muafakat. Majlis yang berlangsung dalam suasana yang mesra dan ceria itu berakhir pada jam 5:00 petang.
Kedua-duanya akan mula bertugas di tempat baru mulai Isnin, 14 Mac 2011.Guru Sejarah baru akan melapor diri pada tarikh yang sama, manakala pengganti pengetua masih belum diputuskan oleh pihak BPM. Sehingga itu, 'selamat datang' kepada pengetua ke-6.., sama ada ia dari kalangan orang dalam atau dari maktab lain...tungggguuuuuu..!!!!











Isnin, Januari 31, 2011

PENDAFTARAN PELAJAR TINGKATAN 1 DAN 4 2011 (1ST INTAKE)

TENTATIF HARI PENDAFTARAN

Tarikh : Isnin, 7 Februari 2011
Masa : 8.30 - 11.00 pagi
Tempat : Dewan Al-Ghazali, MRSM Kuala Kubu Bharu.

8:30 - 11:00 pagi - Pendaftaran pelajar
11:00 - 12:30 tgh. - Taklimat Pengetua MRSM KKB *
12:30 - 01:30 ptg. - Perjumpaan pelajar/ibu bapa dengan penasihat homeroom *
02:30 -06:30 ptg. - Para pelajar mengemas bilik di asrama

* sangat penting

** Ibu bapa diminta meninggalkan maktab sebelum 06:30 petang

Mohon kerjasama agar dapat hadir awal dan menyelesaikan urusan di kaunter pendaftaran SEBELUM TENGAH HARI bagi melancarkan perjalanan program dan tiada kesulitan yang timbul atas sebab tersebut.

PERATURAN SEMASA PENDAFTARAN

* Semua pelajar dikehendaki BERPAKAIAN LENGKAP SERAGAM SEKOLAH (pelajar dari SEKOLAH HARIAN boleh memakai seragam dari sekolah asal - jika masih belum mempunyai seragam MRSM).

* Pelajar lama TING. 4 dari MRSM KKB dan MRSM lain juga TERTAKLUK KEPADA PERATURAN sedia ada - HANYA PAKAIAN SERAGAM MRSM KUNING atau BIRU SAHAJA.

PELAN KE MRSM KKB DARI ARAH SELATAN, UTARA DAN PANTAI TIMUR

Sila lawati laman web www.mrsmkm.edu.my/kkb untuk merujuk peta ke MRSM Kuala Kubu Bharu.

* MRSM terletak di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor dan BUKAN di Ulu Yam (Sek. Men. Sains Hulu Selangor - SEMASHUR) - ini kerana pernah berlaku kekeliruan tempat sebelum ini.

Bagi mereka yang datang dari arah Utara dan melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), susur keluar adalah di Tg. Malim atau Bt. Beruntung atau melalui jalan lama Ipoh-KL. Tg. Malim-arah Kuala Lumpur - KKB. Dari Bt. Beruntung-Rasa-Ampang Pechah. Dari Selatan susur keluar di Rawang atau Bt. Beruntung (Bt. Beruntung - alternatif untuk mengelakkan kesesakan di Rawang). Sementara dari Kuala Lumpur boleh melalui jalan Ulu Yam-Batang Kali -Rasa - Ampang Pechah atau Selayang-Rawang arah ke Utara (Ipoh). Dari Pantai Timur, boleh menggunakan laluan Genting-Batang Kali-Ampang Pechah.

* perjalanan dari Rawang ke KKB mengambil masa lebih kurang 30 minit (jika perjalanan lancar dan tiada kesesakan di Rawang). 'Landmark' utama adalah Darul Quran (berhadapan SMK Ampang Pecah - DQ sebelah kiri anda jika dari KKB dan sebaliknya jika dari Ampang Pechah). Ambil susur kanan dan akan melalui PLKN/Kem Bina Semangat-MRSM. MRSM terletak bersebelahan IKBN Peretak.

BARANG LARANGAN
Peringatan : pelajar DILARANG membawa barang-barang keperluan yang berharga/berjenama dan juga TELEFON BERKAMERA*. Diingatkan juga supaya tidak membawa pakaian, kasut dan barang-barang yang tidak penting kerana 'locker' dan bilik tidak mampu menampung barang yang banyak. Pastikan yang penting dan perlu sahaja. Setiap bilik menempatkan empat orang pelajar dan hanya menyediakan KEMUDAHAN ASAS. Walaupun begitu, kami sedaya upaya cuba memberikan keselesaan kepada semua.
*dibenarkan membawa kamera dengan bersyarat
BAYARAN YURAN

Terdapat pertambahan jumlah bayaran seperti makanan dan yuran keahlian Muafakat. Kepada ibu bapa yang pernah belajar di MRSM atau mempunyai anak belajar di MRSM, diharap tidak mempertikaikannya memandangkan jumlah sebelum ini telah lama dikenakan dan kenaikan berdasarkan keadaan semasa. Jumlah bayaran telah DITETAPKAN oleh pihak MARA dan kami di MRSM hanya mengikut arahan. HARAP MAKLUM.

* kepada yang tidak berkemampuan, bayaran boleh ditangguh atau dibuat secara ansuran.

Kepada pelajar-pelajar BAHARU - SELAMAT DATANG...!

Khamis, Januari 27, 2011

SEMAKAN TAWARAN KEMASUKAN KE TINGKATAN 1 DAN 4 2011

SEMAKAN TAWARAN KEMASUKAN KE TINGKATAN 1 DAN 4 BOLEH DIBUAT DENGAN MELAYARI LAMAN SESAWANG http://www.mara.gov.my/web/guest/home - TERKINI & PENGUMUMAN. SUKACITA DIMAKLUMKAN SEBARANG PERTANYAAN BERKAITAN KEMASUKAN SEPERTI TEMPAT ADALAH DI BAWAH URUSAN PIHAK BPM (BAHAGIAN PELAJARAN MENENGAH MARA).
TARIKH KEMASUKAN PELAJAR BARU TINGKATAN 1 DAN 4 2011 BAGI MRSM KKB ADALAH PADA ISNIN, 07 FEBRUARI 2011 MULAI JAM 8.30 PAGI DI DEWAN AL GHAZALI.
SEMUA PELAJAR PERLU MEMATUHI PERATURAN SEDIA ADA SEWAKTU PENDAFTARAN IAITU BERPAKAIAN SEKOLAH LENGKAP. PELAJAR BARU TINGKATAN 1 DAN 4 (DARI SEKOLAH KEMENTERIAN PELAJARAN) BOLEH MENGGUNAKAN PAKAIAN SEKOLAH ASAL. MRSM JUGA MEWAJIBKAN SEMUA PELAJAR PEREMPUAN BERAGAMA ISLAM MEMAKAI TUDUNG.
*MRSM JUGA TIDAK MENAWARKAN TEMPAT BAGI PELAJAR YANG TELAH MENERIMA TAWARAN KE SBP (SEKOLAH BERASRAMA PENUH).
HARAP MAKLUM.

Ahad, Januari 02, 2011

ANSARA KE...?

Berikut adalah luahan hati seorang petugas kaunter semasa pendaftaran pelajar tingkatan 2, 3 dan 5 pada 2 Januari 2011.tahun baru..tapi sesiapa yang biasa atau pernah bertugas di kaunter perkara atau kejadian seperti ni biasa berlaku...kalau ada yang terguris hati...kami pun terguris sama, malah lebihhhhhh lagiiiii...


Tarikh : 2/1/2011

Masa : 3.30 hingga 5.30 pm

Tempat : Dewan Besar Al-Ghazali, MRSM Kuala Kubu Bharu, Selangor, MALAYSIA

Agenda : Pendaftaran Pelajar Ting. 2. 3 & 5 sesi 2011/2012



Hari ini aku bertugas menjaga kaunter koperasi untuk pelajar2 Ting. 2. Dalam pada sibuk melayan karenah pelajar n ibu bapa yang bertanya ttg bayaran koperasi, sayup2 di belakang barisan pelajar dan ibu bapa kedengaran suara salah seorang ibu bapa yang bercakap dengan kuatnya dengan salah seorang lagi ibu bapa tetapi.... aku x mendengar butir bicaranya memandangkan aku perlu memberi tumpuan pada urusan duit di depan mata ku!!!



Tiba giliran bapa yang bercakap kuat dalam barisan tadi membuat bayaran.......



NAL (bukan nama sebenar) - "Dobi kene baya ker???"



Aku - "Kena encik"



NAL - "This is not fair, mana boleh u paksa kitarang bayar sedangkan kita x guna dobi"



Aku - "Tapi encik, semua pelajar wajib bayar dobi seperti yang ditulis dlm peraturan"



NAL - "Sapa yang buat peraturan nih??? This is not fair u nak force kita orang. Pengetua MANA??? Mana dia????



Aku - "Arini ari cuti, pengetua cuti" (sebenarnya pengetua menghantar anaknya ke PLKN Jempol, takkan nak bagitau kot??? dalam hati aku berkata-kata)



NAL - "SEPATUTNYA PENGETUA KENE ADALAH, TIME MCM NI LA DIA PERLU ADA ORANG NAK BERTANYA" dengan nada yang tinggi. "ADA PERATURAN KER KALAU X BAYAR DOBI, ANAK KENA BUANG?"



Aku - "Tak de lah"



NAL - "DAH TUR...., SAPA BUAT PERATURAN NI??? MRSM???



Aku - "Sebenarnya semua MRSM perlu bayar duit dobi kerana peraturan sudah termaktub dan perkhidmatan dobi disediakan, bukan MRSM ni saja!!! Pihak MARA sudah keluarkan arahan,ini bukan pihak MRSM punya keputusan!!!"



NAL - "SAYA XNAK BAYAR DOBI!!!" sambil dihentak-hentakkn kakinyer (dlm hati ku berkata - pehal la mamat nih???, mcm budak hingusan) "THIS IS NOT FAIR"



Aku - "Xpela, kalu encik xnak bayar, bayar ajela yang mana rasa sggp bayar (aku senyum ajer menahan amarah dlm dada - bengang!!!), "Nanti perkara ni saya maklumkan la pada pihak pengurusan"



NAL - "Takder la turrr kalau kata akan dimaklumkan, paham sgt la.... (dgn nada sindiran), saya dulu pn duduk asrama jugak, tau la saya"



Aku - (aku senyum aje...., nak ajer mulut aku kuarkan kata2 power..., tp aku tahan jek sbb aku tau aku pn jadi bodo sama jika aku layan mamat sekor nih..... !!! Agaknyer dia tengok aku senyum dan buat2 bodo, dia mcm x puashati!!!)



NAL - "Cuba u ckp..., kenapa saya perlu bayar dobi nih????"



Aku - " Saya ikut arahan saja encik, kalau encik xpuashati, encik jumpe pihak pengurusan!!!"



NAL - "HAH... tengok, u sendiri pn xbole nak jawab bila saya tanya..., ni mcm mana nie???? Pengetua mana???? "Saya bukan nak timbulkan masalah tapi this is not fair (dlm hati ku - eh xder ayat lain ker, bosan plak dgr!!!)



(aku jeling melihat wajah anaknya, kasihan plak aku rasa pada anak dia...... "Malu budak ni" kata hati ku, Si anak terus menutup mukanya dengan kertas bila bapanya meroyan tak tentu pasal!!!)



Aku - "Takpela, bayar ajela RM135.00, dobi RM10.00 tur saya xmasukkn la dalam resit"



NAL - "OK".......



Kemudian NAL dan anaknya ke kaunter Penempatan Asrama.....Dari cerita kawan2 yang menjaga kaunter MUAFAKAT (PIBG), rupa-rupanya dia dah mengamuk dulu di kaunter berkenaan kerana tidak puashati dgn bayaran makan minum yang telah naik dari RM30.00 sebulan pd tahun lepas kepada RM60.00 sebulan pd tahun 2011 nih. Sebulan RM60.00, ada ker mana2 restoran atau kantin dlm dunia ni duit makan dan minum 6 kali sehari cuma RM2.00?????



Katanya dia xpuashati dan dengan bangga dia bagitau pd K.Wan (Bendahari MUAFAKAT) yang dia adalah ANSARA yang bermaksud "ANAK SAINS MARA" - kiranya NAL ni ialah bekas pelajar MRSM suatu ketika dahulu!!! ..... hmmmmmm, mcm ni ker ANSARA???? Kalau aku, aku malu nak mengaku ANSARA jika beginila perangai yang ada pada diri!!!.....



Selepas NAL berlalu, hati aku menjadi geram...., melampau sungguh kalau begini la perangai bekas pelajar MRSM yang dikenali sebagai ANSARA. Gagalkah MARA mendidik pelajar2 nya??? Adakah MARA GAGAL mendidik jati diri pelajar2nya semasa mereka berada di MRSM??? Mungkin hanya segelintir sahaja sebegini kerana aku tau, lebih ramai lagi yang di luar sana berjaya dengan cemerlang dan bersifat mulia serta dipandang tinggi oleh masyarakat dan komuniti setempat!!! Apa2 pn aku tau MARA tidak pernah GAGAL dalam sistem pendidikannya..., MARA sentiasa memikirkan dan melaksanakan program2 untuk membangun dan meningkatkan martabat anak-anak bangsanya dan dalam pada itu memang terdapat segelintir sahaja yang hati nya keras umpama batu dan hitam pekat mengalahkan minyak TAR yang tidak mau berubah sejak di alam sekolah .... dan akhirnya terbawa2 hingga ke tua...... dan mungkin jika tidak berubah juga, akhirnya di bawa hingga ke liang lahat!!!



Hati aku terus rasa simpati pada anak si NAL ni...., mmg nampak mukanya malu.... hmmmm WAHAI IBU BAPA di luar sana...., mendidik anak2 ini bukanla sekadar menyerah bulat2 pada pihak sekolah terutama anak2 yang ada di asrama penuh!!! Salah satu pendidikan yang anak2 terima ialah melalui CONTOH & TELADAN.... terutama dari org2 yang signifikan dalam hidupnya dan IBU BAPA la contoh terdekat....., tapi jika ibu bapa pn tidak boleh berbudi bahasa, bagaimana anak2 nak berbudi bahasa dengan baik jika contoh sudah ada di depan mata!!!



Kemudian aku mendengar cerita si NAL di asrama semasa menghantar anaknya ke bilik. Kata rakan ku..., dalam pada puluhan dan ratusan budak yang masuk ke asrama petang ini...., anak si NAL sorang ajer yang ada masalah....dimana pintu locker anaknya di bilik tercabut apabila si NAL nak cuba buka utk mengemas barang2. Laaaa.....locker orang lain OK ajer...., kenapa pintu locker anak dia la plak bermasalah???......padahal semua locker telah dibaiki semasa cuti sekolah baru2 ini!!! Sesungguhnya ALLAH swt MAHA BESAR & MAHA MENGETAHUI segala2nya... dan ALLAH swt telah pn mengaturkan segalanya atas muka bumi ini mengikut kehendak NYA !!!



Sekian.... cerita ku di awal tahun baru ini!!!


*sesekali berkongsi cerita dan rasa dilema petugas kaunter..

Rabu, Oktober 20, 2010

Al-Fatihah:Nizam dalam kenangan

16 Oktober 2010 lalu genap setahun pemergian allahyarham Muhammad Khairul Nizam bin Ali Hanafiah dalam kemalangan jalan raya. Tarikh yang sama juga berlangsung majlis makan malam pelajar tingkatan 5 di hotel Impiana, KLCC. setahun selepas pemergiannya, rakan-rakan dan guru-guru masih terus mengingatinya dengan segala gurau-senda dan celotehnya. hampir semua guru mengenalinya sejak beliau berada di tingkatan satu lagi (lebih tepat lagi sewaktu masih dalam minggu orientasi). aktif dan periang, juga penghibur dalam kelas. kehilangannnya masih dirasai dan semoga roh allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Sebagai tanda ingatan, di sini dipaparkan beberapa keping gambar Allahyarham yang dapat 'dicarigali' dari arkib foto maktab dan juga dari koleksi foto saya sendiri. saya masih lagi mencari satu koleksi terakhir beliau bersama rakan-rakan kelab ketika berkayak di tasik Darul Quran (seminggu sebelum kejadian) yang sempat saya rakam, tetapi entah di mana. begitu juga satu folder mengandungi gambar-gambar beliau dari tingkatan satu hingga empat.
Allahyarham Nizam dalam kenangan :

kiri : sewaktu penutup minggu orientasi tingkatan satu, 2008 depan:dua dari kanan

empat dari kanan : di taman tamadun Islam, kuala terengganu





sewaktu kejohanan olahraga mrsm se-malaysia 2008 di kuala terengganu.


al-fatihah.disemadikan di kampung keluarganya di Kapar, Klang.



































Selasa, Oktober 12, 2010

Tamat PMR 2010 - UKKM 2010

Sebagaimana yang tertera dikalendar di web rasmi(www2.mrsmkm.edu.my/kkb), sudah tujuh hari sejak peperiksaan PMR bermula, dan telah tamat dengan kertas terakhir, semalam. Sebagaimana yang telah dirancang dari awal, para pelajar akan menduduki UKKM atau Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM esok, 13 Oktober 2010. Peperiksaan berasaskan komputer(offline) berkenaan terbahagi kepada dua sesi memandangkan jumlah komputer yang tidak mencukupi untuk para pelajar mendudukinya serentak. Para pelajar hanya dibenarkan pulang setelah selesai menduduki UKKM. Sesi pertama tamat pada jam 12.30 tengahari dan sesi kedua tamat pada jam 5.30 petang. Harap maklum.

Selasa, Oktober 05, 2010

PEPERIKSAAN PMR 2010

Salam 1Malaysia
Sebagaimana yang semua pengunjung web sedia maklum(rujuk kalendar di laman web rasmi), hari ini merupakan hari bermulanya peperiksaan PMR bagi tahun ini, 2010. Kelihatan para pelajar, pengawas peperiksaan dan para guru yang terlibat serta pihak pengurusan maktab telah bersedia di Dewan Al-Ghazali sejak awal pagi lagi. Tidak ketinggalan beberapa orang ibubapa pelajar yang berkelapangan untuk datang memberikan semangat kepada para pelajar. 
Dengan ini marilah kita bersama-sama mendoakan kejayaan para pelajar kita dalam peperiksaan PMR kali ini, demi masa depan mereka dan juga kelangsungan kecemerlangan MRSM KKB secara keseluruhannya...amin.

Rabu, Ogos 11, 2010

Yahoo Groups kelab warga mrsmkkb


 Semua ahli Kelab Warga MRSM KKB dijemput untuk menjadi ahli Yahoo Groups Kelab Warga MRSM KKB. Yahoo Groups ini adalah satu senarai emel yang membolehkan mana-mana ahli yang dibenarkan menghantar emel kepada kumpulan dan semua ahli kumpulan akan menerima emel berkenaan. Secara asasnya semua ahli boleh berbuat demikian melainkan dinyatakan sebaliknya. Kaedah ini sangat berguna untuk menyampaikan maklumat dan berkongsi pendapat. Untuk menyertai Yahoo Groups Kelab Warga MRSM KKB anda boleh masukkan alamat emel yang sah(sebaik-baiknya akaun gmail) dalam ruangan yang disediakan di bawah dan butang klik Join Now!.
 warga_mrsmkkb

Isnin, Julai 26, 2010

HARI AKADEMIK II Tingkatan 5 dan Tingkatan 3 2010

Sukacita dimaklumkan, selain daripada Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar, pada 31 Julai 2010 nanti akan turut diadakan Hari Akademik II Tingkatan 5 dan Tingkatan 3 bagi tahun 2010. Program akan bermula pada jam 8.30 pagi hingga jam 11 pagi dan seterusnya diikuti dengan program Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar. Maklumat lanjut berkaitan dengan program berkenaan akan dimasukkan kemudian di laman web maktab dan juga blog ini, harap maklum.