Jumaat, Februari 26, 2010

Salam Maulidur Rasul

Selawat dan salam kepada junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w....
sempena maulidur rasul para pelajar dibenarkan pulang bermalam bermula pagi ini selepas tamat sesi gotong royong. kelihatan para ibu bapa datang seawal jam 8 pagi...
nampaknya terubatlah homesick pelajar-pelajar baru dan dapatlah merehatkan diri selepas minggu aktiviti dan sukan/olahraga...
kepada para pelajar, pastikan datang awal pada hari ahad nanti...

Minggu Aktiviti & Minggu Penyesuaian Diri/Kejohanan Olahraga Tahunan

Tidak seperti kebiasaan, pada tahun ini Minggu Penyesuaian Diri diadakan serentak dengan Minggu Aktiviti. Dalam Minggu Aktiviti ini juga diselitkan kejohanan Olahraga Tahunan Maktab kali ke-5. pelajar-pelajar baru tingkatan 1 terutamanya lebih 'enjoy' dan kurang 'homesick' disebabkan mereka turut dilibatkan dalam minggu aktiviti dan dapat bergaul dengan semua senior.

Minggu Penyesuaian Diri bermula dengan pendaftaran pelajar-pelajar baru tingkatan 1 dan 4 pada 17 Februari lalu. Pada tahun ini majoriti pelajar tingkatan 4 merupakan pelajar lama KKB, 34 orang dari MRSM Kuala Klawang, sementara beberapa orang pelajar dari sekolah harian. bagi tingkatan 1, ini merupakan pengalaman pertama berjauhan dari keluarga, tetapi mereka cukup bersemangat. Pada tahun ini juga kurang sekali kedengaran pelajar 'homesick' dan menangis, berbanding tahun-tahun sebelum terutama dua tahun lepas....(huhuhu...masa ni warden pon rase nak ikut menangis..adesss)..

Selain sesi bersama penasihat homeroom dan kaunselor, mereka turut diselia oleh Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dengan bermacam aktiviti untuk lebih mengenali antara satu sama lain.

Minggu aktiviti pula bermula sehari selepas pendaftaran dengan program senamrobik/poco-poco bersama BWP di dataran berhadapan Dewan Besar. Ia turut melibatkan guru-guru dan kakitangan yang diketuai oleh 'Pak Hussin' (TPHEK) dan tidak ketinggalan TPHEA disamping Ketua-ketua Jabatan, beberapa orang guru dan kakitangan pejabat yang 'sporting'..(yg 'sporting' jee..)

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang minggu (19 - 25 Feb.) ialah sukan tradisional, pasar malam, kuiz matematik, amazing science (t3), puisidra, amali haji, aerodance, talent show (t5), Human Chess, pert nasyid (t2), kingdom of homeroom, pesta remaja citra, spontan (2,3 & 5),dan banyak lagi. latihan rumah sukan diadakan setiap petang manakala Pertandingan Merentas Desa pada 22 feb, saringan olahraga pada 23 dan 24 feb manakala kemuncak kejohanan olahraga pada 25 feb serentak dengan upacara penutup disempurnakan oleh YDP Muafakat Caw. MRSMKKB, Dato' Ahmad bin Md Yassin.

Johan keseluruhan pada tahun ini disandang oleh rumah Emerald (Hijau). Olahragawan MA disandang oleh Lukman Hakimi (Sapphire), Olahragawati MA - Shalini (Sapphire) . Bagi Olahragawan MR - Muhammad Afiq (Topaz) dan Olahragawati MR - Divashini juga dari Rumah Topaz. Olahraga dwi-tahunan ini diadakan buat kali ke-5 sejak 2002. Pada tahun hadapan akan diadakan acara sukan dan permainan.

Pemenang-pemenang akan dipilih untuk mewakili maktab dalam kejohanan Olahraga MRSM peringkat Zon Barat pada April depan.

Minggu Aktiviti semester dua akan diadakan pada Ogos depan. Tunggu....!!!

Ahad, Februari 21, 2010

duty warden

semalam tak dapat bertugas dek kerana demam panas/high fever sehinggakan terpaksa MC pada hari jumaat/kelmarin. hari ini tidak sebagaimana jangkaan tidak ramai pula pelawat apatah lagi pelajar yang ingin keluar. mungkin kerana baru mendaftar atau kembali ke asrama menjadi faktor, tambahan pula mesin ATM Bank Rakyat pula telah beroperasi sepenuhnya tanpa sebarang masalah yang ketara menjadi faktor penyumbang terhadap bilangan kunjungan mahupun keperluan untuk keluar.....
dalam pemerhatian dan berdasarkan laporan, terdapat sebilangan pelajar masih belum arif dengan peraturan keluar masuk asrama. ada sebilangan yang tidak melaporkan diri di balai pengawal, pakaian yang tidak mematuhi peraturan dan sebagainya...
demi kebaikan semua pihak, tinggi harapan pihak warden agar peraturan yang telah ditetapkan ini dipatuhi dan mendapat kerjasama semua pihak, termasuk ibubapa/penjaga.

selesai pendaftaran

bermacam ragam dan senario kelihatan pada hari pendaftaran....seawal 7.30 pagi kelihatan telah ada bakal pelajar bersama keluarga menanti kaunter pendaftaran dibuka....sehinggalah kepada versi pendaftar lewat tiba jam 8.00 malam...bermacam ragam dapat diperhatikan....
proses orientasi atau penyesuaian juga serta merta bermula....kita saksikannn....

Isnin, Februari 15, 2010

Selamat Tahun Baru Cina

kepada semua pembaca, rasanya masih belum terlewat untuk kami mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, terutamanya kepada para pembaca dari kaum Cina....maktab bercuti bermula daripada hari Sabtu lepas sehinggalah hari Selasa, dan sesi persekolahan akan bermula kembali pada hari Rabu nanti. Jadi para pelajar dikehendaki kembali ke maktab pada petang Selasa, SEBELUM JAM 6 petang....harap maklum

angin kencang dan suasana panas

Salam satu malaysia....
seperti biasa pada penghujung tahun dan diikuti awal tahun berikutnya adalah musim berangin(tidak sampai ribut pun) yang hebat di mukim buloh telor di mana terletaknya MRSM KKB.....kali ini disertai dengan cuaca panas membakar sehinggakan rumput di padang dan sekitar kawasan maktab kelihatan begitu kering dan seolah-olah garing/rapuh....
sehubungan dengan itu para warga maktab amnya dan para pelajar khasnya dinasihatkan berhati-hati terutamanya dalam menjaga kesihatan(pastikan anda meminum air masak sebanyak yang mungkin) dan awas dengan pintu dan juga objek-objek lain yang ditolak angin....kerana anda MUNGKIN TERCEDERA!

Jumaat, Februari 12, 2010

Pendaftaran Pelajar Baru Ting. 1 dan 4, 2010

Selamat datang kepada pelajar-pelajar BARU tingkatan 1 dan 4.

Sesi pendaftaran akan diadakan pada 17 Februari 2010, bermula pada jam 8.30 hingga 11.00 pagi. Kami amat mengharapkan agar ibu bapa/penjaga dapat hadir pada waktu yang ditetapkan bagi melancarkan proses pendaftaran dan

8.30 - 11.00 pagi : Pendaftaran
11.00 - 12.00 tgh : Taklimat Pengetua bersama pelajar dan ibu bapa
12.00-1.00 : Perjumpaan penasihat homeroom bersama pelajar dan ibu bapa
1-00 - 6.30 ptg : Makan/mengemas bilik asrama dan sebagainya (bersama ibu bapa)
6.30 : ibu bapa pulang ke destinasi masing-masing

Bagi memudahkan urusan pendaftaran, sila pastikan segala dokumen yang diperlukan dibawa dan telah lengkap diisi sebelum diserahkan ke setiap kaunter.

Bayaran yuran sebanyak RM270 dan ini antaranya meliputi bayaran asrama utk sebulan dan yuran Muafakat (keahlian dan tahunan), bayaran lain adalah tertakluk kepada keperluan seperti Koperasi.

Sebagai peringatan: pelajar DILARANG membawa barang-barang keperluan yang berharga/berjenama dan juga TELEFON. Diingatkan juga supaya tidak membawa pakaian, kasut dan barang-barang yang tidak penting kerana 'locker' dan bilik tidak mampu menampung barang yang banyak. Pastikan yang penting dan perlu sahaja.

Setiap bilik menempatkan empat orang pelajar dan hanya menyediakan KEMUDAHAN ASAS. Walaupun begitu, kami sedaya upaya cuba memberikan keselesaan kepada semua. Jadi, jangan bayangkan suasana bilik di rumah sendiri atau di hotel....

Bagi mereka yang datang dari arah utara dan melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), susur keluar adalah di Tg. Malim atau Bt. Beruntung atau melalui jalan lama Ipoh-KL. Dari Selatan susur keluar di Rawang atau Bt. Beruntung (Bt. Beruntung - alternatif untuk mengelakkan kesesakan di Rawang). Sementara dari Kuala Lumpur boleh melalui jalan Ulu Yam-Batang Kali atau Selayang-Rawang arah ke Utara (Ipoh). Dari Pantai Timur, boleh menggunakan laluan Genting-Batang Kali.

Jika anda dari arah utara, anda akan melalui Pekan KKB sementara dari arah selatan boleh menggunakan Jalan Ampang Pecah. MRSMKKB terletak berhampiran Darul Quran, PLKN, Kem Bina Semangat dan IKBN Peretak.

Kami dikelilingi hutan...tetapi hutan ini memberikan seribu satu rahmat. Kepada yang sudah terbiasa dengan hutan batu mungkin akan terkejut dan kata-kata "macamana anak saya nak hidup di sini...." atau "apa yang ada di sini..." itu sudah biasa kedengaran sewaktu kali pertama menjejakkan kaki di sini. Bagi yang telah lama di sini-KKB ada segalanya, kalau tak cukup boleh ke KL yang tak sampai sejam perjalanan...
Kami juga pernah mendapat komen yang baik dari seorang bapa yang mahu anaknya belajar di sini kerana 'persekitarannya' yang hijau dan sunyi daripada bunyi kenderaan.
Bagaimanapun, datang dan rasailah sendiri. Terpulang anda untuk menilai.

Selamat datang untuk pelajar baru MRSMKKB (benar2 baru...)

Ahad, Februari 07, 2010

Majlis Pelancaran Menu Ikan Air Tawar

Majlis Pelancaran Menu Ikan Air Tawar telah selamat disempurnakan oleh Dato' Ibrahim bin Muhamad, Ketua Pengarah MARA pada Khamis, 4 Februari di MRSM Kuala Kubu Bharu.


Ia seiring dengan keputuan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Jun 2009 yang bersetuju melaksanakan Dasar Bekalan Ikan Tawar ke Organisasi Kerajaan seluruh negara dan mensyaratkan bekalan ikan air tawar dijadikan sebagai menu di organisasi-organisasi kerajaan seperti asrama sekolah berasrama penuh, kolej, pusat latihan, kem tentera, penjara dan hospital sekurang-kurangnya seminggu sekali. Dasar ini telah diumumkan oleh YB Datuk Seri Noh bin Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 21 Jun 2009 semasa pelancaran Menu Ikan Air Tawar di Pasar Tani Mega Shah Alam, Selangor anjuran FAMA.


Jenis ikan yang dipersetujui adalah ikan keli, tilapia dan patin. MRSM KKB menjadi projek perintis MARA sebelum diperluaskan secara berperingkat ke MRSM dan Kolej MARA yang lain di Semenanjung Malaysia.


Majlis yang hanya bermula pada jam 12 tengah hari berjalan lancar dengan ucapan ringkas diikuti dengan penyerahan simbolik replika ais berbentuk ikan keli yang ditaja oleh pihak Dewan Selera. 'Press Conference' bersama pihak media diadakan sebelum makan tengah hari. Menu utama pula antaranya Gulai Lemak Ikan Patin dan Ikan Keli Goreng Berlada.

Bukan semua orang makan ikan air tawar dan inilah yang terjadi kepada tetamu yang dihampiri secara tiba-tiba oleh Datuk KP, menggelabah ambil tulang dari pinggan orang sebelah. Ada pulak tu terus cubit ikan masuk mulut dan kata "This is my first time..!". Macam mana? sedapkan? Bagi pelajar-pelajar maktab ini, ikan keli bukan baru kerana ia adalah antara menu kegemaran terutama sekali ikan keli goreng berlada. Tak percaya, tanyalah bekas tuan punya kafe maktab yang terdahulu...

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah-pengarah MARA, pengetua-pengetua MRSM terdekat dan sekolah-sekolah berhampiran.