Sabtu, November 29, 2008

semuanya boleh didapati di sini....yaaa...di sini

ok....ini tak berkenaan apa-apa pun, cuma semalam "terperasan" ada beberapa buah van MRSM. mulanya ingatkan ada apa-apa program di maktab(walaupun sebenarnya hampir pasti tak ada).
setelah di amati betul-betul...waaahhh....semuanya van baru! dan banyak untuk maktab-maktab baru!KIA Pregio Diesel...hhmmm....tgklah gambar-gambar berikut nie...dan hantar komen anda....yaaa..hantarkan komen anda...
anda berminat ? hhhhmm.....satu nama yang menarik
ada satu 'makhluk' sesat di sini....
pppeeehhh....macam askar berbaris..
kelihatan jelas 'makhluk' yang sesat tuuu....
nama yang ditunggu-tunggu....kini tiba masanya
dah biasa dengar

Isnin, November 24, 2008

KTM Komuter

sebagaimana yang semua sudah sedia maklum, perkhidmatan KTM komuter telah pun dipanjangkan sehingga ke stesen baru di Kuala Kubu Bharu. namun kini kadar kekerapan tren telah dikurangkan kepada sejam sekali. pendek kata jika anda terlepas satu tren(yang baru bertolak), anda terpaksa menunggu kira-kira sejam untuk tren seterusnya....
tadi terlepas tren 5:30:00...sampai di stesen 5:30:35....terlepas 35 saat...tren seterusnya 6:25:00 !!! aduuuuhhhhh....terpaksa ke stesen rawang dalam keadaan hujan yang sangat lebat.....

Sabtu, November 22, 2008

ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari....

cuti hujung minggu, apa lagi basuhlah kereta....macam nak rak basuh kereta dah dekat tiga jam dah nie....hujan lebat pulaaakkkkk....
apa pun, semoga hujan yang lebat ini datang bersama rahmat-Nya, dengan keberkatan khususnya untuk para pelajar yang masih berjuang dengan kertas-kertas SPM 2008, serta usaha para guru yang tidak putus-putus, tidak lupa juga para ibu bapa yang saban hari pasti ada mengunjungi anak-anak yang kini sangat memerlukan sokongan....semoga kejayaan menjadi petanda usaha dan keikhlasan semua...aamiinnn

Khamis, November 20, 2008

PENDAFTARAN SESI 2009

  1. pendaftaran pelajar tingkatan 2, 3 dan 5 :
  • Ahad
  • 4 Januari 2009
  • 9.00 pagi - 6.00 petang

2. re-orientasi :

  • 5 - 6 Januari 2009
  • isnin - selasa

3. kelas akademik : mulai 7 Januari, 2009

harap maklum. sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

makluman kemaskini

blog catatan perpisahan beberapa hari lepas telah mendapat sedikit sentuhan baru....
anda boleh lihat di sini(klik)

Rabu, November 19, 2008

Sambutan 25 Tahun Berkhidmat Dengan MARA - Grand Seasons KL

Pada bermula jam 8.00 malam, 12 November 2008 yang lalu bertempat di Grand Ballroom, Hotel Grand Seasons Kuala Lumpur telah diadakan Majlis Malam Penghargaan dan Jamuan Tahunan MARA sempena meraikan mereka yang telah berkhidmat 25 tahun dengan MARA, pesara-pesara MARA dan anggota MARA yang telah meninggal dunia.

Perasmian majlis telah disempurnakan oleh Dato' Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Dalam ucapannya, beliau banyak menyentuh tentang peranan dan sumbangan yang telah diberikan oleh MARA sejak penubuhannya hingga kini.

Dua orang guru dari MRSM KKB yang telah menerima Anugerah Penghargaan 25 Tahun Perkhidmatan adalah Ustaz Mustaffa Daharun, TPHEP yang mula berkhidmat pada 11 April 1983 dan Pn Rosnah Bt Alang Mohd Rashid, Guru Sejarah yang mula berkhidmat pada 24 Julai 1983.

Selama 25 tahun berkhidmat dengan MARA telah banyak kenangan dan pengalaman yang boleh dikongsi bersama dengan anggota MARA khususnya di MRSM KKB. Semangat yang terus membara untuk terus berkhidmat adalah antara resepi yang boleh dijadikan pedoman oleh anggota MARA terutamanya yang masih muda untuk terus membina kerjaya yang lebih cemerlang dan terbilang.

Kelihatan di dalam gambar adalah (dari kiri) Ustaz Marwan (MRSM Batu Pahat), En Zaki (TPHEP MRSM Pasir Tumboh), Ustaz Mustaffa(TPHEP MRSM KKB), EN Zainuddin (TPHEP MRSM Batu Pahat).


-catatan oleh Ustaz Mustaffa Daharun-
(dimasukkan ke dalam blog oleh miekkb/webmaster)

keraian perpisahan - Ustaz Mustaffa Daharun, En Zabidin dan Pn Marlina

Perpisahan terjadi lagi...walaupun tanpa rela...

Tahun ini menyaksikan mrsmkkb kehilangan begitu ramai guru disebabkan antaranya berpindah, bercuti dan berhenti dari perkhidmatan mara. setelah pemergian 'sir' rosli (bpm), dr. uzi (upsi), 'sir' azran (kmkn), miss sherri (geneva), en hairul (scomi), 'sir' ali (cuti belajar), pn asmah (jepun), ustz aishah (qatar), pn suriani (bakal ke nz) dan kini miss marlina (bek), ust mustafa (mrsmbp) dan en zabidin (mrsmb). seperti yang pernah diluah oleh pengetua, guru-guru maktab ini memang wanted hinggakan ada yang 'diculik'!

bak kata puan pengetua, "dua tiga kucing berlari, manakan nak sama si kucing belang, dua tiga boleh kucari mana nak sama ustaz, zabidin dan marlina seorang".

tak tersangka dan tak terduga, perpisahan melanda. melainkan pn marlina yang memohon pertukaran, pertukaran ustaz mustaffa dan en zabid (abang long) adalah tidak terduga sama sekali walaupun oleh puan pengetua sendiri. pn marlina memang memohon pertukaran kerana beliau telah sekian lama membuat perjalanan jarak jauh setiap hari untuk datang dan pulang dari bekerja. pengorbanan beliau yang tak terhingga tersebut jelas dan rapi oleh puan pengetua.
manakan tidak, walaupun tinggal di selayang tetapi beliau amat jarang tiba lewat ke maktab (selalu tepat-tepat!hehehe) dan pulang paling awal jam 5.00 petang, itu pun jika tiada latihan basketball. dan jika ada program sebelah malam beliau akan stayback sehingga 10.30 malam dan memandu pulang sendirian. amat komited, disenangi rakan guru dan pelajar. setelah enam tahun, rutin hariannya akan berubah. dan adakah penggantinya kelak mampu menyaingi beliau? kita tunggu dan lihat!

yang nak pergi, dah ku kenal.....dua tahun begitu singkat dirasakan oleh semua warga maktab di bawah bimbingan ustaz mustaffa. kesabaran dan ketekunan beliau dalam menangani masalah-masalah pelajar dan pentadbiran pasti akan menjadi ikutan. gurau senda semasa bara'an pun dirasakan baru kelmarin berlalu..... seorang yang cool dan bersahaja. pemergiannya kelak bakal menyaksikan kkb kehilangan seorang pemidato hebat yang mungkin sehebat sukarno (mungkin - kerana penulis tidak pernah mendengar sukarno berucap) disebabkan khalayak yang mendengar pidatonya tidak jemu mendengarnya. tabiat biasa seorang pemidato adalah pantang jumpa mic, tetapi ustaz juga bukan calang-calang pemidato kerana beliau juga pernah membuktikan kepada kami beliau juga seorang penyajak hebat. bagi warga guru dan kakitangan majlis semalam menjadi tempat terakhir mendengar ucapannya tetapi bagi para pelajar mereka tidak sempat mengucapkan selamat tinggal kerana perpisahan ini berlaku semasa mereka bercuti. kali terakhir mereka menatap dan mendengar amanat ustaz semasa perhimpunan sebelum minggu peperiksaan bermula. tahun hadapan mereka akan menatap wajah tphep yang baru dari pontian yang khabarnya hebat juga.....

abang long akan ke mrsm bentong(nasib baik ada 'N') merupakan intan terpilih. mrsm bentong yang merupakan projek perintis mrsm konsep antarabangsa memerlukan tenaga kerja dan pengajar yang mahir berkomunikasi dalam bahasa asing, terutamanya bahasa inggeris. daripada cara kerjanya kelihatan seperti beliau tidak menjangkakan akan dipindahkan, namun itulah adatnya mengorbankan jiwa dan raga untuk agama, bangsa dan negara. kami rela 'meminjamkan' abang long kepada warga bentong...namun janganlah beliau 'dirampas' dari kami, kami tak rela...
abang long yang juga merupakan presiden kelab warga telah menyerahkan tampuk pimpinan kelab kepada sahabat sebantal beliau, tn hj nizar idris dalam mesyuarat agung tergempar yang diadakan sejurus pengesahan perpindahan beliau diterima. pemergian beliau amat dirasai semua selain oleh kembar pancingnya yang juga kembar rumah. jasa abang long akan kami kenang dan tak akan kami sia-siakan. dan semoga abang long juga tidak akan melupakan kami walaupun mrsm bentong berada sedikit di atas(mengikut paras laut).....dan jika tidak kerana banjaran titiwangsa yang merentangi, bentong amat dekat sekali...

panggilan abang long (long-sulung kerana beliau paling senior) dan long satu lagi - long (panjang) kerana beliau paling tinggi...hehehe...abang long atau cikgu bidin merupakan antara peneroka awal maktab ini dan juga pengasas kelab warga hingga menjadikan kelab itu antara yang paling kaya dan berjaya tanpa bantuan atau suntikan dana daripada mana-mana pihak. selain itu beliau juga antara penggerak utama aktiviti desa mrsm yang terdiri daripada penghuni kuarters seperti bara'an semasa hari raya, jamuan desa dan sebagainya. pemergiannya juga bakal membawa bersama emas acara tenis suzons yang selama ini kkb tiada tandingannya. pak hussin bakal kehilangan gandingan mantapnya, apatah lagi selepas pemergiannya dr uzi. seperti mana kkb kehilangan beregu emas badminton apabila hasbullah (techart) meninggalkan kkb dan mengakibatkan cikgu nizar terpaksa bersara awal. pasukan bola tampar juga akan kehilangan spiker (eh! betul ke istilah ni), begitu juga dengan petanque, dan...dan...begitu banyak sebab mengapa beliau amat berharga kepada kami tetapi apakan daya...

pemergian kalian bertiga umpama 'pelangi petang' (sudirman) yang menghilang.....

jika kebiasaannya cikgu bidin adalah penganjur dan pn marlina sibuk mencari hadiah untuk yang dirai , kali ini keadaan sebaliknya. majlis sederhana tetapi meriah (meminjam ungkapan wartawan) diadakan di serendah golf resort pada pukul 2.30 petang. cuaca mendung tetapi berbahang panas mengiringi perjalanan kami. ucapan alu-aluan dimulakan oleh puan pengetua yang sememangnya begitu berat melepaskan mereka. diikuti oleh yang dirai- ust mus, pn marlina dan cg zabidin. tiada deraian air mata yang kelihatan tetapi dalam hati Tuhan yang tahu...upacara diteruskan dengan penyampaian hadiah dari setiap jabatan. majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh ust zeidi yang menandakan bermulanya acara makan-makan..(mi kari dia sedap kan?).sebelum pulang, masing-masing mengabadikan kenangan bersama dan sehingga seorang demi seorang meninggalkan sgr. bagi yang lewat dapatlah menyaksikan acara tambahan - dapur buffet terbakar menjilat kain. mujurlah ada pak hussin yang baru balik dari latihan bersama bomba, maka dapatlah menunjukkan skill dan ilmu yang diperolehinya.

harapan kami adalah tiada lagi majlis seumpamanya sekurang-kurangnya dalam masa terdekat ini walaupun angin perubahan dikatakan membadai dengan hebat sekali di bsm (hq) dan akan turut melanda kkb. kami tidak mampu lagi menyaksikan guru-guru hebat seperti mereka keluar meninggalkan mrsmkkb....:(

sekian...

Selasa, November 18, 2008

Program Modal Insan Cemerlang 2008

Program Modal Insan Cemerlang adalah program motivasi dan jati diri khusus untuk pelajar-pelajar MRSM. Program ini yang pertama kali diadakan bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan membina sahsiah yang lebih cemerlang seperti yang dituntut dalam falsafah pendidikan negara dan MRSM. Ini kerana Kejayaan tidak hanya dipandang daripada sudut akademik semata-mata tetapi juga sahsiah dan peribadi pelajar terutama produk keluaran MRSM.
Majlis penutup telah diadakan pada 17 November 2008 di Kem Rock Resort, Ulu Yam dan bagi memeriahkan majlis tersebut lagi, MRSM KKB telah menghantar beberapa orang guru dan kakitangan yang diketuai oleh puan pengetua, Puan Siti Fatimah Hassan. Disebabkan ketiadaan bas sendiri (bila 'la' nak dapat...?), kami telah menumpang bas MRSM FELDA -Trolak (tertulis MRSMF..hmmm tapi bas make up cam bas MRSM lain - sangkaan kami meleset kerana menyangka mereka menggunakan bas khas FELDA seperti mana MRSM Terendak dan MRSM PDRM-Kulim ).Bas yang dijadualkan sampai di maktab pada pukul 9.00 pagi menyebabkan guru dan kakitangan yang terlibat (termasuk yang menulis ni...) menangguhkan hasrat bersarapan di luar (seperti kebiasaannya untuk beberapa hari ini). Takut 'la' kalau tertinggal/ditinggal bas..('dah' lah menumpang...)Bagaimanapun, bas hanya sampai pada pukul 10.30 pagi dan guru yang terlibat sempat juga 'la' memasukkan markah dalam sistem UPPM dan ada yang 'entah ke mana'. Ketika sampai di sana majlis telah bermula dan hujan pula lebat menyebabkan kami tersekat di khemah yang agak jauh dari khemah utama (kerusi 'tak' cukup 'pulak' tu). Disebabkan itu juga kami tidak dapat mengikuti majlis dan mendengar ucapan perasmi dengan sepenuhnya.
*Berikut adalah petikan daripada akhbar Sinar Harian dan Berita Harian :
Majlis Penutup Program Modal Insan Cemerlang 2008 telah disempurnakan oleh Ahli Majlis MARA, Datuk Mohamad Rais Zainuddin yang mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar. Upacara penutup bermula pada jam 11.00 pagi, 17 November 2008 di Kem Rock Resort, Ulu Yam.
Program Modal Insan Cemerlang merupakan program yang julung kali diadakan, di mana seramai 200 pelajar daripada 40 buah MRSM seluruh negara yang telah berada di sini sejak 13 November. Setiap maktab diwakili oleh lima orang pelajar. MRSM KKB juga tidak terkecuali menghantar wakilnya yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu dan empat. Moga mereka yang kembali dari kem ini menjadi insan cemerlang seperti yang diharapkan oleh agama, bangsa dan negara selain keluarga dan maktab.
*Dalam teks ucapannya, Datuk Noh Omar berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah memperuntukkan dana berjumlah RM360 juta bagi membina tambahan sembilan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mulai tahun depan. Menurutnya lagi, tambahan pembinaan itu telah dimasukkan dalam peruntukan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang bertujuan merealisasikan impian lebih ramai pelajar berpeluang mendapatkan pembelajaran di MRSM. Sembilan buah MRSM tersebut adalah Tanjung Karang, Selangor; Rantau, Negeri Sembilan; Baling, Kedah; Johor Bahru, Johor; Tanah Merah, Kelantan; Temerloh, Pahang; Dungun, Terengganu; Sandakan, Sabah dan Parit di Perak. (watch out! sapa nak pindah 'bole' 'ushaa' daripada sekarang..!)
Bermula Januari tahun depan juga, MARA akan memperkenalkan tambahan satu mata pelajaran iaitu subjek ‘Keinsanan’ bertujuan meningkatkan jati diri dalam diri pelajar.
Nota : Disebabkan majlis berlangsung dalam hujan yang sangat lebat menyebabkan pergerakan terhad dan tiada satu pun gambar perasmi dapat dishoot. Gambar akan diupload kemudian jika mendapat copy daripada Rock Resort atau Berita Harian.
*Terima Kasih - Sinar Harian edisi KL/Selangor (Hulu Selangor) dan Berita Harian edisi Tengah - 18/11/2008 terutama wakil Sinar HS dan En. Fuzi (BH).

Ahad, November 16, 2008

Al-Fatihah.....

Al-Fatihah.....
buat Allahyarham Tn. Hj. Mohd. Zari bin Harun, Timbalan Pengetua Hal-Ehwal Pelajar (TPHEP) MRSM Kuala Berang, Terengganu yg telah meninggal dunia di MRSM Kuala Kubu Bharu petang semalam.
Beliau dan beberapa orang guru serta kakitangan MRSMKB berada di KKB kerana menyertai pertandingan petanque anjuran Kelab Warga. Beliau tiba-tiba rebah ketika sedang bermain dan segera dibawa ke Hospital KKB, bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia setibanya di sana. Jenazahnya telah dibawa pulang tengah malam tadi dan telah selamat disemadikan selepas solat Zuhur di Kuala Terengganu hari ini. Allahyarham berasal dari Pasir Mas, Kelantan.
Takziah utk keluarga Allahyarham dan juga warga MRSM Kuala Berang, moga tabah menghadapi satu lagi ujian daripadaNya. Sesungguhnya pemergian beliau satu lagi kehilangan besar buat warga MRSM Kuala Berang khususnya dan MRSM amnya.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin.Amin.....

Sabtu, November 15, 2008

pengikut ke-7

jula juli bintang tujuh....dah ada pengikut ke tujuh....terima kasih dan syabbas diucapkan...

Jumaat, November 14, 2008

pengikut ke-6

alhamdulillah,
setakat ini dah ada pengikut keenam, satu petanda baik walaupun blog ini belum di war-warkan seantero nusantara.....
insya Allah jika mendapat "green light line clear" dari pengawal pusat blog ini akan diwar-warkan......terpulang kepada beliau serta pengurusan maktab.....

Khamis, November 13, 2008

Cuti Semester

Hari yang ditunggu-tunggu oleh semua pelajar telah tiba...jika selama beberapa hari ini jasad sahaja yang kelihatan, manakala jiwa pula telah lama berada di rumah...(tak sabar rasanya nak main game, tengok tv, tidur sepuas-puasnya, makan masakan ibu ( atau bibik...!))dan juga ada yang telah merancang melancong ke dalam dan luar negara...hmmm.. jangan lupa bawa ole-ole untuk cikgu..;) Akhirnya...tarikh keramat itu tiba jua.
Pelajar-pelajar tingkatan 1,2 dan 4 telah pulang bercuti pada Khamis, 13 November 2008 selepas menamatkan kertas peperiksaan terakhir sekitar jam 11.00 pagi. Kebanyakan pelajar ini balik dijemput oleh keluarga masing-masing memandangkan banyak barangan dan homework yang perlu dibawa balik untuk diselesaikan semasa cuti. masing-masing membawa lebih daripada satu beg dan berkotak-kotak buku (semangat beb!). Pemandangan seperti ini biasa dilihat sewaktu pulang bercuti - baru sedar betapa banyaknya barang-barang yang dibawa selama ini..
Seperti biasa juga, aktiviti rutin sebelum balik bercuti iaitu aktiviti bergotong-royong membersihkan kelas telah diadakan pada hari Rabu mulai jam 3.00 petang, manakala di asrama pula pada sebelah malamnya. Keadaan sunyi-sepi di blok F dan A memandangkan hampir kesemua penghuninya telah pulang (aman dunia..hehehe). Yang hanya tinggal beberapa orang pelajar PUM, Reka Cipta dan Kelab Robotik yang perlu menyiapkan tugasan masing-masing sebelum boleh balik bercuti. Di Blok K dan B pula masih dihuni pelajar tingkatan 5 yang masih bergelut dengan peperiksaan SPM.
Jika pelajar-pelajar telah bersuka-ria di rumah, guru-guru pula masih 'bertarung' dengan kertas jawapan yang perlu ditanda dan perlu di 'key-in' selewat-lewatnya pada 18 November ini. Guru-guru hanya mula bercuti mulai 19 November (itu pun jika semuanya beres!). Beberapa orang guru tingkatan 5 serta warden pula bergilir menjalankan tugas.
Keputusan peperiksaan akan dihantar ke rumah pada waktu cuti ini beserta laporan subjek dan laporan homeroom (yang berkenaan sahaja). Ingatan kepada semua pelajar, gunakan waktu cuti ini dengan sebaiknya dan bagi pelajar tingkatan 2 dan 4, lakukan persediaan awal untuk PMR dan SPM anda.

Pelajar-pelajar ini akan kembali semula ke maktab pada 5 januari 2009 untuk memulakan sesi baru persekolahan manakala 30 Disember 2008 pula adalah tarikh guru mula bertugas.

Selamat Bercuti!

Selasa, November 11, 2008

SPM 2008

setelah segala persiapan dimuktamadkan, hari yang menguji semua persiapan bertahun lamanya.....hari ini bermula peperiksaan SPM bagi tahun 2008

sebagaimana kebiasaan peperiksaan ini diadakan di dewan utama maktab, Dewan Al-Ghazalli. meja-meja peperiksaan dan kipas serta persiapan-persiapan lain telah pun diselesaikan sejak minggu lepas dan telah menerima lawatan terakhir dari ketua pengawas peperiksaan bagi MRSM KKB

bagi para pelajar tingkatan lima 2008 dan para guru serta keseluruhan warga maktab, inilah saat dan ketika yang paling mengujakan dan mendebarkan.....semoga segala pengorbanan dan persediaan yang sebegitu lama dan telah terbukti sebelum ini membuahkan kecemerlangan buat sekian kalinya.....amin ya rabbal 'alamin.....

Khamis, November 06, 2008

sambutan hari ko-q 2008

merupakan acara tahunan di setiap maktab, sambutan hari ko-kurikulum telah diadakan pada hari selasa, 4 november lepas.

sambutan kali ini diadakan secara sederhana namun dengan selengkap yang mungkin. yang terlibat kali ini hanya para pelajar tingkatan tiga yang telahpun selesai menduduki peperiksaan PMR dan menjalani program MIGHTY.

Selasa, November 04, 2008

minggu peperiksaan akhir semester 2, 2008

minggu lepas dan minggu ini merupakan minggu peperiksaan akhir semester dua, 2008. semoga para pelajar dan guru telah berjaya menghabiskan sukatan pelajaran dan membuat persiapan secukupnya.

diucapkan selamat menduduki peperiksaan dengan tenang dan semua warga maktab mendoakan kecemerlangan anda....selamat maju jaya

Ahad, November 02, 2008

hari anugerah kecemerlangan SPM 2007

sebagai menghargai semua pihak yang terlibat sehingga menjadikan keputusan peperiksaan spm mrsmkkb 2007 suatu kecemerlangan, satu majlis diadakan pada hari ini.

majlis dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan kehadiran para tetamu serta bekas pelajar yang menduduki spm pada 2007 yang sudah. acara dimulakan pada jam 9.40 pagi dengan kehadiran Pengetua diiringi PPHEA, PPHEP, mantan Pengetua - Tn Hj Md. Safar bin Said serta mantan PPHEA - Dr Mohd Uzi Bin Dolah.

ucapan pengetua begitu bersemangat di samping penghargaan dilontarkan atas usaha mantan pengetua, Tn Hj Md Safar sehingga kecemerlangan ini dicapai. beliau juga amat berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan atau ditingkatkan lagi. segala program dan perancangan diteruskan dan dibuat penambahbaikan demi mencapai sasaran.

tidak kurang juga berkobar-kobar semangat ucapan Tn Hj Md Safar Bin Said. amanat-amanat beliau terhadap anak-anak tidak mungkin dilupakan. maktab juga disarankan agar mengekalkan hubungan baik dengan anak-anak ini.

persembahan koir juga tidak kurang hebatnya tatkala para hadirin mula menjamu selera. SYABASSSS!!! persembahan diteruskan dengan tayangan slaid MS PowerPoint diiringi dengan alunan muzik piano yang menyegarkan.

selain daripada pengetua dan mantan pengetua yang paling berseri-seri hari ini tentulah tidak lain tidak bukan adalah Cik Normah Selamat selaku penyelaras program kecemerlangan SPM 2007. SYABASSS DAN TAHNIAH diucapkan!!!!

graduasi kali ke-6.....SYABAS!

1 november 2008, berlangsung hari graduasi kali ke-6 mrsm kkb. kali ini majlis berlangsung dengan lancar dan hampir tanpa sebarang masalah. kehadiran dif jemputan pada kadar membanggakan.

majlis bermula agak lewat, dengan para ibu bapa pelajar menunggu penuh setia di dalam dewan al-ghazalli. sesekali pasukan gamelan memainkan muzik selingan bagi menghilangkan kebosanan para hadirin menunggu dalam dewan.

tiba kehadiran perasmi majlis, EN MOHD NIZAM MOHD ALI yang kini merupakan Pengarah Sektor Swasta, Institut Integriti Malaysia...para graduan berangkat masuk ke dalam dewan al-ghazalli dan mengambil tempat duduk masing-masing, dengan diiringi muzik gamelan dari kumpulan Gemalai Sari, mrsm kkb.

tidak lama kemudian, perasmi majlis diiringi oleh senat dan para guru mengambil tempat, juga diiringi dengan alunan muzik gamelan.

majlis terus berjalan lancar dengan ucapan pengetua, diikuti oleh ucapan berkobar-kobar oleh perasmi majlis dan seterusnya bahagian yang ditunggu-tunggu - pengiystiharan graduasi serta penganugerahan graduasi kepada para pelajar yang tersenarai.

alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi pada tahun 2008 ini majlis berlangsung dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

*gambar sepanjang majlis akan diletakkan kemudian