Ahad, April 24, 2011

Virus Ini Memang Membunuh

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini seringkali kedengaran rungutan pengguna terutamanya para guru berkenaan dengan virus komputer yang mengganggu. Namun tindakan pembersihan agak sukar dilakukan kerana kemungkinan virus berkenaan merebak kembali adalah sangat tinggi. Sebarang tindakan yang tidak terancang hanya akan menyebabkan pembaziran masa tanpa menyelesaikan masalah pun.
Nama virus berkenaan tidak dapat dipastikan berikutan perisian sekuriti yang digunakan tidak mengkalisifikasikan ianya sebagai virus atau ancaman. Ini kerana 'virus' berkenaan hanya mereplikasikan dirinya ke semua media storan yang kedapatan dan mencipta fail 'shortcut' disamping menyembunyikan fail-fail,folder-foder atau dokumen-dokumen asal milik pengguna. Bagi pengguna komputer yang seringkali bertukar-tukar komputer, ini mendatangkan masalah kerana apabila storan flash(USB,thumbdrive,pendrive,external harddisk etc) seringkali bertukar 'drive letter' apabila digunakan di komputer lain. Kombinasi ini mendatangkan masalah kerana pengguna seringkali tidak dapat membuka bahan-bahan asal dalam storan kerana telah disembunyikan. Selain daripada itu apa musibah yang dibawanya tidaklah dapat dipastikan. Mungkin gabungan ciri-ciri ini tidak cukup untuk membolehkan ianya diklasifikasikan sebagai virus atau ancaman bagi sesetengah pakar sekuriti.
Namun apa yang pasti virus berkenaan memang telah membunuh banyak masa dan emosi para pengguna......

Rabu, April 20, 2011

MAKAN-MAKAN LAGI

















































Sempena meraikan kecemerlangan SPM 2010, kejayaan penganjuran Super dan meraikan kehadiran pengetua baharu, satu majlis keraian diadakan untuk para guru dan kakitangan MRSM KKB.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan Timbalan Pengetua HEP, Tn Hj Abd Ghani Yahya dan ucapan pengetua Tn. Hj Mustafar Che Mat yang mana ini merupakan ucapan pertama beliau di hadapan semua guru dan kakitangan sejak mengambil alih tugas pengetua daripada Pn. Siti Fatimah Hasan yang kini bertugas di MRSM Tumpat , Kelantan.

Selain meraikan kejayaan , kesempatan turut di ambil oleh Kelab Warga untuk meraikan warga kerja yang menyambut hari lahir dan menerima cahaya mata. Mereka yang cemerlang pula dianugerahkan dengan sijil penghargaan sempena Hari Kualiti yang diadakan setiap bulan.

Jamuan turut dihadiri oleh bekas guru KKB yang telah berpindah pada pertengahan tahun lalu dan awal tahun ini. Kehadiran Ust Zeidi Zakaria (kini menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Unit Pendidikan Islam) dan en Zaidi Yaacob (pensyarah di UiTM , Shah Alam) memeriahkan majlis lagi. turut hadir ialah isteri tuan pengetua yang juga merupakan Penolong Kanan 1 di SMK Ampang Pecah (jiran sekolah terdekat).

Jamuan berakhir kira-kira jam dua petang selepas seorang demi seorang yang kekenyangan meninggalkan majlis. Akan datang jamuan 'pot luck' pula.makan lagi...














Isnin, April 18, 2011

SELAMAT BERTUGAS PENGETUA BAHARU


Tn. Hj. Mustafar bin Che Mat


MRSM KKB secara rasminya menerima pengetua baharu pada hari ini 18 April 2011. Beliau adalah Tuan Haji Mustafar bin Che Mat yang sebelum ini bertugas di MRSM Pengkalan Hulu, Perak.

Berasal dari Pengkalan Kubor, Kelantan dan telah memulakan tugas dengan Mara di MRSM Kuala Terengganu dan MRSM Terendak (sebagai kaunselor) sebelum berpindah ke ibu pejabat Mara di Bahagian Bimbingan dan Kaunseling. Jawatan terakhir beliau sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Hal-Ehwal Korporat sebelum dilantik sebagai pengetua MRSM Kuala Klawang, Negeri Sembilan dan kemudiannya ke MRSM Pengkalan Hulu.

Warga MRSM KKB mengalu-alukan kedatangan pengetua baharu yg mesra disapa Hj Mus atau Che Pa. Selamat menjalankan tugas di tempat 'baharu' . Moga kehadiran beliau akan meneruskan tradisi kecemerlangan dan memantapkan MRSM KKB.


*gambar dari laman sesawang MRSM Pengkalan Hulu - terima kasih.

Selasa, April 05, 2011

SUPER 2011

Pesta Sukan & Permainan (Super) MRSM Zon Barat (Men. Ren.) telah berlangsung pada 1 hingga 3 April 2011 yang lalu. Kejohanan ini melibatkan semua sembilan buah MRSM yang mewakili Zon Barat iaitu iaitu Felda Trolak, Tun Ghazali Shafie (Kuala Lipis), Lenggong, Pasir Salak, Kuala Klawang (KK), Serting, Tawau, Kota Kinabalu (KoKi) dan tuan rumah Kuala Kubu Bharu.


Sebanyak tujuh acara dipertandingkan bagi mencari pasukan yang layak mewakili zon dalam SUPER peringkat kebangsaan yang akan diadakan di MRSM PDRM Kulim bulan Jun akan datang. Acara yang dipertandingkan ialah bola sepak, bola jaring, sepak takraw, bola tampar (l/p), badminton, tenis dan ping pong.


Perlawanan akhir bola sepak dimenangi oleh MRSM Kuala Klawang dengan mengalahkan MRSM TGS 1 - 0. Tuan rumah MRSM KKB pula menewaskan MRSM KK dengan mata 21 berbalas 11 untuk muncul johan acara bola jaring. Perlawanan akhir sepak takraw antara MRSM KKB dan MRSM KK memihak kepada MRSM KK. MRSM Felda mengungguli acara bola tampar (l) apabila mengalahkan MRSM KoKi. Acara bola tampar perempuan pula dimenangi MRSM Serting selepas menewaskan MRSM KK. Tenis berpasukan dimenangi oleh MRSM Serting dengan mengalahkan MRSM KK. MRSM TGS muncul sebagai juara badminton berpasukan selepas menewaskan MRSM KK 2 - 1 dalam perlawanan akhir di gelanggang badminton Dewan Al-Ghazali. Acara ping pong juga diungguli oleh pasukan dari MRSM KK yang telah mengalahkan pasukan dari MRSM KoKi 3 - 0 dalam perlawanan akhir.


Secara keseluruhan, MRSM Kuala Klawang telah muncul sebagai johan dengan mengumpul 57 mata meninggalkan jauh naib johan MRSM Serting yang mengutip 38 mata. MRSM Kota Kinabalu di tempat ketiga dengan 34 mata. Manakala tuan rumah berkongsi 27 mata di tempat kelima dengan MRSM Tun Ghazali Shafie (TGS).


Majlis penutupan perasmian telah diadakan pada sebelah malam di Dewan Al-Ghazali MRSM Kuala Kubu Bharu dan telah disempurnakan oleh YB Datuk Mohd. Isa bin Abu Kasim, ADUN Batang Kali, Hulu Selangor.


Para peserta berangkat pulang pada Isnin, 4 April 2011 manakala hari berkenaan juga diisytiharkan sebagai cuti peristiwa bagi guru dan pelajar MRSM KKB.


Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah berusaha menjayakan kejohanan ini terutama kepada barisan ajk dan sukarelawan yang banyak membantu. Tidak lupa juga kepada peserta yang bertanding, serta semua yang terlibat dalam Super Zon Barat 2011.